Cuma AKU

Cuma AKU

Thursday, April 17, 2008

Tips Kewangan - Rancangan Kewangan Keluarga

RANCANG KEWANGAN KELUARGA

Bila bergelar suami isteri, pasangan harus menentukan sama ada ingin memasukkan semua gaji mereka dalam akaun bersama atau sebaliknya.
Jika memilih untuk menguruskan secara berasingan, perlu menetapkan siapa menanggung kos bagi setiap perbelanjaan. Pastikan pembahagian dijalankan secara adil. Pastikan jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan daripada setiap wang gaji diterima tidak lebih daripada 70 peratus daripada wang gaji bersih yang diterima.
Ini beerti bagi setiap RM1,000 wang gaji, hanya boleh membelanjakan RM700. Hukum ini perlu dikekalkan selamanya.
Buka dua akaun lagi bagi menempatkan 30 peratus wang gaji yang belum digunakan. Letakkan 10 peratus daripada wang gaji itu didalam akaun satu (akaun simpanan) manakala 20 peratus lagi dalam akaun kedua (akaun kecemasan).
Terus menyimpan di dalam akaun kedua sebanyak 20 peratus daripada wang gaji bersih pada setiap bulan sehingga ia menyamai enam bulan wang gaji kasar.
Contohnya, jika mendapat RM2,000 bersih pada setiap bulan, perlu menyimpan sebanyak RM400 dalam akaun kedua pada setiap bulan sehingga jumlahnya manjadi RM12,000.
Apabila wang dalam akaun kedua itu menyamai gaji selama 6 bulan, pada bulan seterusnya pula ambil wang sebanyak 20 peratus itu untuk disimpan dalam akaun satu iaitu akaun simpanan. Setiap pasangan perlu menyimpan didalam akaun kecemasan sebanyak enam kali gaji kasar yang mereka terima setiap bulan.
Gunakan wang dalam akaun satu untuk melabur ditempat yang sah disisi undang-undang. Tujuannya untuk mengelakkan wang dimakan oleh inflasi serta menjamin keperluan semasa dan masa depan terutama ketika kos barangan semakin tinggi.
Jangan gunakan wang dalam akaun kecemasan untuk kegunaan peribadi yang tiada kaitan dengan keperluan kecemasan. Antara kes kecemasan adalah kemalangan dan kerosakan kereta.
Jangan rompak diri sendiri yang lazimnya berlaku bila anda atau pasangan tidak dapat mendisplinkan diri. Ini berlaku bila semua wang gaji dibelanjakan dan tiada wang kecemasan.
Pastikan diri dilengkapi pelbagai adab seperti adab masuk ke pasar raya. Apabila memasuki pasar raya, pastikan diri tidak berada dalam keadaan lapar dan masuk dengan membawa senarai.
Pastikan diri dan pasangan membentangkan bajet keluarga pada setiap bulan di atas meja makan untuk mengetahui perbelanjaan semasa.
Kesilapan dalam merancang wang gaji menyebabkan diri menanggung bebanan hutang sepanjang hayat.
Jangan biarkan bank menentukan masa depan dengan membiarkan mereka menentukan jumlah pinjaman yang perlu anda ambil.
Jangan mengambil pinjaman maksimum untuk harta yang membebankan seperti kereta. Sebaiknya ambil pinjaman yang tidak melebihi empat tahun.
Terus mendalami ilmu kewangan kerana setiap hari ada pelbagai perangkap kewangan yang mampu menyebabkan diri merana sepanjang hayat. Beringat sebelum terkena terutama kad kredit dan skim ansuran mudah yang mampu menjadikan diri hamba kepadanya sepanjang hayat.
Dipetik dari Harian Metro 17 April 2008.

Tuesday, March 25, 2008

Tips Kewangan - Mengurangkan Pembiayaan Pinjaman

Tips mengurangkan pembiayaan

Ini adalah sedikit garis panduan bagaimana pembeli boleh membuat bayaran pembiayaan mereka dalam tempoh yang lebih singkat bagi mengurangkan jumlah keseluruhan pembiayaan perumahan anda.

  • Bayar Setahun Sekaligus

Bayar secara tahunan lebih baik dari bayaran bulanan. Kesannya adalah seperti anda membuat bayaran 13 bulan setahun. Sebagai contoh, bayaran untuk pinjaman RM100,000 bagi tempoh 25 tahun akan mengurangkan faedah sejumlah RM37,000 dan akan memendekkan tempoh bayaran selama 6 tahun dan 6 bulan!!!

  • Jangan bertindak diluar kemampuan

Tahu tahap kemampuan anda dalam membeli rumah. Ini akan membantu anda membayar pinjaman dengan lebih cepat tanpa merubah cara hidup anda secara keseluruhan. Lebih tinggi pinjaman maka lebih tinggi faedah yang dikenakan. Ketika membayar balik pinjaman, anda harus mampu membayar faedah dan pokok pinjaman. Sebagai contoh, pinjaman bernilai RM200,000 pada kadar 6 peratus setahun bermaksud anda harus membayar sehingga RM12,000 hanya untuk faedah pinjaman sahaja.

Dalam menentukan tahap kemampuan anda dalam membayar balik pinjaman perumahan, anda harus tahu pendapatan kasar bulanan anda. Peraturan kewangan yang boleh dijadikan ikutan adalah jumlah bayaran ansuran bulanan keatas pinjaman perumahan tidak boleh melebihi 30 peratus dari jumlah pendapatan kasar bulanan anda!!!

  • Buat perbezaan keatas kos pinjaman

Buat sedikit pengiraan sebelum meminjam dan pastikan anda selesa dengan pinjaman secara keseluruhan sekiranya kadar faedah meningkat. Sepanjang tempoh 20 hingga 30 tahun ini perubahan keatas kadar faedah adalah diluar jangka, kadang-kadang meningkat dan boleh juga menurun dalam satu-satu masa yang lain.

Katakan anda membuat pinjaman RM100,000 selama 25 tahun pembiayaan pada kadar 6.57 peratus. Ansuran bulanan anda adalah RM680 sebulan. Sekiranya kadar faedah meningkat kepada 10.1 peratus maka bayaran ansuran bulanan anda juga akan meningkat. Untuk mengira tahap kemampuan anda, buatlah sedikit pengiraan keatas bayaran ansuran bulanan sekiranya kadar faedah meningkat dari 1 peratus hingga 5 peratus.

Kebanyakkan bank yang menyediakan perbankan intenet ada menyediakan perkhidmatan kalkulator yang membolehkan anda membuat perbandingan pinjaman perumahan berdasarkan kadar faedah. Sekiranya anda tidak selesa dengan senario kadar faedah yang kerap berubah anda patut mengambil kira pinjaman perumahan dengan kadar tetap.

  • Displin diri

Sebelum betul-betul meminjam, cuba latih diri dengan menyediakan bayaran ansuran bulanan bagi pinjaman yang akan dibuat. Bukan sahaja membantu anda mendisplinkan diri tetapi ini akan membantu anda membuat simpanan bagi tujuan pembayaran pendahuluan yang lebih tinggi. Harus diingatkan, lebih sedikit anda pinjam maka lebih sedikit faedahnya dan anda akan lebih cepat bebas dari hutang.

  • Bayar hutang segera

Lebih banyak anda sanggup membayar keatas pembiayaan maka lebih cepat dan segera anda menyelesaikan pembiayaan perumahan dan lebih sempurna hidup anda dari segi perancangan kewangan jangka panjang. Dengan membayar lebih, anda akan jimat dari segi faedah yang dikenakan.

  • Rancangan pada masa susah

Buatlah bayaran yang lebih ketika anda boleh melakukannya. Akan datang kita tidak tahu bila masa musibah akan menimpa. Berkemungkinan anda perlu menjelaskan sesuatu yang lebih penting seperti bil hospital. Oleh itu bayaran kehadapan bukan sahaja boleh menjimatkan dari segi faedah, ia juga akan mengurangkan tekanan keatas diri anda ketika anda mengalami kesusahan. Tidak siapa yang tahu!!!!

  • Gunakan kenaikan gaji yang diterima

Sekiranya anda menerima kenaikan gaji, cubalah tingkatkan jumlah bayaran ansuran anda. Walaupun dengan peratusan yang kecil ia akan membantu anda dari segi perancangan kewangan masa depan. Anda juga masih boleh menikmati kenaikan yang anda terima.

  • Jangan lebih berbelanja

Sekiranya rumah yang dibeli buka untuk dijadikan kediaman kekal keluarga anda maka jangan lah berbelanja berlebihan keatas rumah tersebut. Tidak perlu bagi anda untuk mengubah suai rumah tersebut secara keterlaluan. Jangan berbelanja besar keatas kabinet dapur atau perabot-perabot antik. Anda akan merasakan ianya tidak akan balik modal sekiranya anda berniat menjualkan rumah tersebut suatu hari nanti.

Untuk memaksimakan kepuasan hati anda dalam memiliki sebuah kediaman, lihat lah juga dari aspek-aspek selain kewangan. Pastikan berbaloi!!!

Aspek-aspek selain kewangan yang mampu mempengaruhi kepuasan anda

  • Kenali diri sendiri

Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah tanya diri anda sendiri samada anda akan kekal lama menetap disuatu tempat? Sekiranya pekerjaan anda memerlukan anda berpindah randah setiap 3 atau 4 tahun maka menyewa adalah pilihan yang lebih baik.

Buat perbandingan bayaran sewa bulanan sebuah rumah dengan harga belian rumah. Dengan menganggarkan tempoh pinjaman selama 20 tahun bagi pembiayaan pembelian rumah, kirakan jumlah sewa yang perlu dibayar sepanjang 20 tahun anda menyewa. Bandingkan dengan harga semasa sebuah rumah yang ingin dibeli. Sekiranya jumlah bayaran sewaan sepanjang 20 tahun itu lebih tinggi dari harga semasa rumah tersebut maka adalah lebih baik bagi anda untuk membeli dari menyewa.

  • Lokasi

Dalam membeli hartanah, perkara yang paling penting adalah lokasi. Oleh itu, sebelum membeli, periksa aspek kejiranan, keselamatan, kadar jenayah dan faktor-faktor lain kawasan tersebut. Untuk merasai aspek kejiranan , anda harus melawat kawasan tersebut pada masa berlainan dalam hari yang sama.

Dengan cara ini, anda akan tahu kawasan ini sunyi atau tidak. Anda mungkin tidak akan dapat memiliki sebuah rumah yang hebat dalam kawasan kejiranan yang sempurna. Oleh itu anda harus bertolak ansur. Anda akan lebih selesa walaupun tidak memiliki rumah idaman tetapi berada didalam kawasan kejiranan yang selamat dan harmoni.

  • Latarbelakang pemaju

Banyak rungutan keatas masalah pemilikan rumah baru boleh dielakkan sekiranya anda menyelidik latar belakang pemaju terutamanya tentang sejarah pembabitan pemaju didalam bidang pembinaan.

Pastikan anda akan dapat seperti yang dijanjikan oleh pemaju. Contohnya berkaitan lantai, senibina rumah dan lain-lain lagi. Sekiranya anda menghadapi masalah anda boleh ajukan masalah anda kepada TribunalTuntutan Pembeli Rumah.

  • Pemilikan bersama

Sekiranya anda membeli rumah dengan cara berkongsi dengan seseorang yang lain pastikan semua dokumen ditulis dengan jelas berkenaan jumlah wang pendahuluan yang perlu anda bayar dan bagaimana pembahagian dibuat sekiranya ruma tersebut dijual suatu dari nanti.

Kepada mereka yang berniat untuk membeli rumah terpakai, anda harus ambil kira perkara-perkara berikut:

  • Motivasi penjual

Perkara pertama yang perlu anda ketahui adalah berkenaan kenapa dia menjual rumah tersebut? Sekiranya adalah kerana perceraian, kehilangan pekerjaan ataupun berpindah tempat kerja maka penjual adalah sedikit terdesak untuk menjualnya. Disini anda boleh mengambil kesempatan dalam perundingan bagi mendapatkan harga yang lebih rendah. Faham!!!

  • Adakah rumah tersebut pernah disewakan

Secara logik rumah yang disewakan akan mengalami lebih teruk kerosakkan dari rumah yang diduduki sendiri oleh tuan tanah. Sekiranya anda dapati rumah tersebut telah disewakan untuk sesuatu tempoh masa ambillah kesempatan untuk berunding bagi mengurangakan harga jualan rumah tersebut.

Tips Kewangan - Membeli Insurans Diri

Tips Membeli Insurans

Kita mungkin agak biasa dengan perkataan insurans tetapi adakah kita benar-benar memahami apa itu insurans dalam erti kata sebenar?

Memiliki polisi insurans adalah langkah bijak dalam menghadapi risiko yang tidak dijangka pada seseorang individu yang boleh menyebabkan dan memerlukan dia mengeluarkan sejumlah wang yang banyak bagi menangani kehilangan ataupun kecederaan yang menimpa.

Insurans adalah langkah keselamatan dari segi kewangan. Ada pelbagai jenis polisi insurans yang melindungi berkenaan kebakaran, kemalangan, kecurian, mengidap penyakit dan malapetaka.

Insurans berkaitan kenderaan adalah merupakan yang tertinggi dari segi bilangan polisi – 3.6 juta dalam tahun 2002 manakala insurans kemalangan diri dan insurans perubatan dicatatkan pada 2.3 juta dan 354,000 polisi.

Terma-terma yang perlu diketahui....

Insurans memiliki beberapa terma yang mewakili maksud tersendiri yang secara amnya difahami bagi orang-orang yang berada didalam industri ini. Sebagai pemegang polisi, kita harus faham akan terma-terma ini supaya kita boleh menjadi pengguna yang bijak. Ini adalh sebahagian dari terma-terma asas insurans:

  • Polisi Insurans

Apabila kita bersetuju untuk membayar kepada pihak insurans yang akan mengambil alih risiko yang ditanggung, pihak insurans akan mengeluarkan satu polisi kepada pemegang polisi yang akan menerangkan dengan lebih lanjut berkenaan perjanjian insurans.

  • Premium

Premium insurans merupakan bayaran kepada syarikat insurans sebagai pertukaran kepada janji perlindungan dan bantuan keatas kehilangan yang tidak dijangka.

  • Perlindungan Maksimum

Setiap polisi insurans ada perlindungan iaitu had jumlah yang akan dibayar oleh syarikat insurans kepada pemegang polisi yang membuat tuntutan. Oleh itu, lebih besar jumlah yang dilindungi lebih tinggi premium dikenakan.

  • Tuntutan

Sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini dan polisi insurans yang dimiliki mencakupi perlindungan berkenaannya maka pemegang polisi berhak menuntut dari pihak syarikat insurans. Syarikat insurans akan menyelidik, memproses dan membuat keputusan samada tuntutan itu diterima atau ditolak.

Sekiranya diterima, pihak insurans akan membayar jumlah yang diinsuranskan kepada pemegang polisi.

Konvensional VS Takaful

Dalam industri insurans terdapat juga insurans versi islam yang dinamakan Takaful. Didalam pelan takaful, dana lebihan akan dikongsi bersama pemegang polisi takaful dan juga pihak operasi insurans. Walau bagaimanapun, lebihan tersebut hanya dikongsi kepada mereka yang tidak membuat apa-apa tuntutan sepanjang tempoh polisi takaful.

Katakan, syarikat takaful memiliki dana lebihan sebanyak 5 juta dan jumlah keseluruhan penyertaan am (bayaran premium insurans) adalah berjumlah 10 juta. Sekiranya penyertaan tahunan kita adalah RM1,000 dan perjanjian awal perkongsian keuntungan adalah pada ratio 50:50. Kita akan diberi bahagian dari dana lebihan seperti dibawah:

Ratio Perkongsian Lebihan = Ratio Perjanjian Awal X Jumlah Lebihan

Jumlah Penyertaan

= 50% X RM5 juta

RM10 juta

= 25%

Keuntungan diagih = 25% X RM1,000

= RM250

Kita boleh gunakan keuntungan yang diagihkan untuk memperbaharui insurans kereta kita. Sekiranya jumlah premium adalah RM650, kita hanya perlu membayar RM400 dan kita dapat berjimat sebanyak RM250.

Selain daripada perkongsian keuntungan keatas lebihan, insurans konvensional dan takaful masih menggunakan prinsip-prinsip yang sama:

  • Faedah Ke atas Barangan Yang Diinsurankan

Menyertai pelan takaful atau membeli polisi insurans bagi melindungi hartabenda atau barangan dari kemusnahan yang tidak dijangka.

  • Indemniti

Kedua-dua syarikat insurans dan takaful akan melindungi pemegang polisi sejumlah wang yang hilang atau musnah sehingga jumlah maksimum yang diinsurankan.

  • Kebolehpercayaan

Dalam membeli polisi insurans atau menyertai pelan takaful, kita dimestikan untuk memberikan maklumat yang betul dan sahih. Sekiranya kita didapati menipu dalam memberikan maklumat perubatan secara automatik polisi akan menjadi tidak sah dan terbatal.

Jenis Insurans

Secara amnya, terdapat 2 jenis insurans (takaful) iaitu insurans am dan insurans hayat.

Insurans hayat akan melindungi insan-insan yang kita sayangi. Mereka yang amat bergantung kepada kita dari segi kewangan tidak akan dibebani sekiranya kita sudah tiada. Walau bagaimanapun, insurans hayat mungkin menjadi keperluan atau mungkin juga tidak menjadi keperluan kepada kita. Ini semua bergantung kepada beberapa faktor dan kriteria. Sekiranya kita masih bujang dan tiada insan yang bergantung harap kepada kita, insurans hayat adalah tidak lah menjadi keutamaan pilihan.

Sekiranya kita sudah berkahwin dan pasangan hidup kita bekerja dan berkemampuan dari segi kewangan tanpa memerlukan pendapatan kita, kita masih boleh menolak untuk memiliki insurans hayat. Cuma bila kita telah menjadi tempat insan-insan tersayang bergantung harap, maka insurans hayat akan menjadi satu keperluan yang utama.

Pemegang polisi insurans hayat boleh menuntut pelepasan cukai keatas pembayaran premium tahunan sehingga maksimum RM5,000 setahun setelah dicampur jumlah penyertaan keatas tabungan KWSP.

Insurans am pula melibatkan perlindungan kenderaan, bangunan, kemalangan diri dan perjalanan. Tempoh perlindungan biasanya akan tamat dalam tempoh setahun dan memerlukan kita membayar keseluruhan jumlah premium sekaligus.

Yang Mana Satu Sesuai Untuk Saya?

Insurans dan takaful merupakan cara mengelak dari meninggalkan beban kepada insan-insan tersayang sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diduga yang menyebabkan kita menjadi lumpuh atau meninggal dunia

Sehingga kini, terdapat pelbagai pelan insurans dan takaful di pasaran dan menyebabkan kita menghadapi kesulitan untuk membuat pilihan. Di sini, disediakan sedikit petunjuk berkenaan perkara-perkara yang perlu difikirkan sebelum membeli sesuatu polisi insurans atau takaful.

  • Memahami klausa yang tertulis didalam polisi atau pelan termasuklah keadaan, had-had faedah dan juga bentuk produk.
  • Pilih pelan yang anda fikirkan anda mampu membayar premium atau wang penyertaannya dan tidak menjadikan ia satu beban baru kepada anda dari segi kewangan.
  • Sertakan semua maklumat yang betul dan tepat ketika mengisi borang pemohonan insurans untuk mengelakkan dari dikenakan penalti ketika membuat tuntutan dikemudian hari.
  • Berurusan secara terus kepada pihak insurans atau takaful, atau anda boleh menggunakan khidmat ejen insurans berdaftar bagi menguruskan insurans atau pelan takaful anda.
  • Beri perhatian kepada tarikh pembayaran wang penyertaan atau premium dan perbaharui polisi sekiranya tamat tempoh.

Berapa anda peruntukkan untuk pembayaran premium bulanan insurans yang anda sertai? Peratus yang paling ideal adalah tidak melebihi 10 peratus dari jumlah pendapatan anda. Tetapi, ini masih bergantung kepada keperluan setiap individu. Jagi, fahami keperluan anda sendiri dan anda lebih mengenali diri anda dari orang lain termasuk ejen insurans. Buatlah sedikit kerja rumah dan kajian sebelum membeli polisi insurans.

Tips Kewangan - Membuat Pinjaman Perumahan (Part 2)

sambungan.....

  • Pinjam hanya jumlah yang anda perlukan dan berkemampuan untuk membuat bayaran

Sebelum membuat pinjaman, anda harus jelas dengan jumlah pinjaman yang anda perlukan dan rancangan anda dalam membuat bayaran semula. Perkara pokok disini adalah samada anda berkemampuan atau tidak untuk membuat bayaran ansuran bulanan. Cara paling mudah bagi mengetahui jumlah ansuran bulanan adalah dengan menggunakan kalkulator yang disediakan di website pemberi pinjaman. Anda hanya perlu memasukan data jumlah pinjaman, tempoh bayaran balik dan kadar faedah. Mudah!!!

  • Ambil tahu dan faham jumlah atau kos sebenar keseluruhan pinjaman

Buat kajian keatas jadual pembayaran balik pinjaman. Pastikan berapa jumlah keseluruhan yang perlu anda bayar sehingga bayaran terakhir pinjaman dibuat. Jadual berikut akan memberi gambaran kepada anda. Contoh berikut adalah berkenaan jadual bayaran semula bagi pinjaman RM250,000 bagi tempoh 30 tahun. Sila rujuk Jadual B.

Jadual B

Tempoh Bayaran Semula dan Kadar Faedah

Bayaran (RM)

Tahun Pertama – 2.8%

Tahun Kedua – 7.05%(BLR* + 0.25%)

Tahun Ketiga dan seterusnya – 7.40%(BLR* + 0.6%)

12,336.00

19,836.00

574,224.00

JUMLAH

606,396.00

*Beranggapan BLR adalah tetap pada kadar 6.8%

  • Pastikan yuran pinjaman adalah berpatutan

Dalam kes-kes yang biasa, yuran pinjaman (termasuk yuran guaman, duti stem) adalah tidak melebihi 5 peratus dari jumlah pinjaman melainkan kita membuat bayaran lebih untu mendapatkan kadar faedah yang lebih rendah. Sebagai contoh, Sekiranya pinjaman berjumlah RM170,000 maka yuran pinjaman tidak harus melebihi RM8,500 (RM170,000 x 0.05=RM8,500)

  • Baca setiap baris dokumen perjanjian pinjaman

Jangan terlalu bergantung kepada kata-kata pihak yang memberi pinjaman. Anda perlu tahu sendiri berapa tempoh jangka masa yang diperlukan bagi menyelesaikan keseluruhan pinjaman. Sekiranya anda menamatkan perjanjian pinjaman lebih awal, maka pihak pemberi pinjaman akan mengenakan anda penalti yang agak tinggi kosnya. Yang paling penting, dapatkan penjelasan sekiranya anda mengalami keraguan tentang pinjaman.

  • Kos tambahan

Semua jenis pinjaman perumahan akan diwajibkan dengan insurans. Dan yang paling biasa digunakan adalah MRTA (Mortgage Reducing Term Assurance. Yuran yang dikenakan adalah tetap dan bergantung kepada saiz pinjaman.

Kefahaman tentang pinjaman perumahan berteraskan islam

Perbezaan antara pinjaman konventional dan pembiayaan berteraskan islam adalah pada konsep dan prinsip. Konventional lebih menekankan tentang penghutang dan pemuitang, hubungan antara pembeli rumah dan pemberi pinjaman manakala pembiayaan islam lebih kepada konsep pembelian dan penjualan dimana, pemberi pinjaman akan membeli rumah dari pemaju dan menjualkan kepada anda dengan harga yang telah dimasukkan apa yang kita panggil UNTUNG!!!

Kadar faedah pembiayaan bagi konventional adalah berubah-ubah manakala kadar bagi pembiayaan islam adalah pada kadar tetap. Untuk melihat akan perbezaan, sila rujuk Jadual C:

Jadual C

Konventional

Bayaran (RM)

Teras Islam

Bayaran (RM)

Tahun pertama – 2.8%

12,336.00

Tahun pertama – 2.8%*

Tahun kedua – 7.05%

(BLR + 0.25%)

19,836.00

Tahun kedua – 6.8%*

Tahun ketiga dan seterusnya – 7.40%

(BLR + 0.6%)

574,224.00

Tahun ketiga dan seterusnya – 8.5%

Purata RM22,538.04 setahun selama 30 tahun

JUMLAH

606,396.00

676,141.20

*Kadar rebet adalah bergantung kepada pihak bank

Sekiaranya anda merasakan kadar bayaran semula adalah tinggi, anda harus tahu bahawa BLR boleh meningkat seperti yang berlaku dalam tahun 1998 iaitu pada 12.3 peratus. Oleh itu, untuk selamat daripada pengaruh inflasi, pembiayaan berteraskan islam adalah pilihan yang bijak kerana harga jualan adalah tetap sepanjang tempoh kontrak.

Anda tidak harus terburu-buru dalam membuat pilihan berkaitan pinjaman perumahan kerana ia akan mempengaruhi pelan kewangan anda untuk 15 hingga 30 tahun akan datang. Oleh itu ambil sedikit masa untuk memikirkan dan menilai sebanyak mungkin produk pinjaman dipasaran. Pilihlah yang bersesuaian dengan kemampuan dan cara hidup anda.

Tips Kewangan - Membuat Pinjaman Perumahan (Part 1)

Tips membuat pinjaman perumahan

Anda tidak boleh terus bersetuju dengan pinjaman yang dicadangkan hanya bila anda mendengar pemberi pinjaman mengatakan pinjaman yang disediakan adalah sama dan standard. Pastikan anda faham tujuan bagi setiap terma dan akibatnya sebelum anda menandatangani dokumen perjanjian.

Terdapat banyak produk pinjaman perumahan yang ditawarkan dipasaran. Maka anda harus bijak membuat pilihan yang terbaik dan sesuai dengan anda. Pilihan keatas pinjaman yang mengenakan kadar faedah yang rendah jelas akan menjimatkan wang anda. Apabila anda sudah memilih pinjaman yang memberikan anda tawaran yang paling baik maka anda boleh merancang kewangan anda dengan lebih berkesan. Ini akan memberikan anda gambaran yang jelas berdasarkan kemampuan anda dan merancang apa yang perlu bagi tempoh masa jangka panjang.

Samada anda memilih pinjaman konvensional atau berteraskan islam terpulang kepda anda. Saya sediakan sedikit tips untuk anda memilih pinjaman perumahan yang terbaik untuk anda.

Bagaimana mendapatkan tawaran pinjaman yang terbaik?

  • Beri diri anda peluang untuk membuat pilihan

Untuk mendapatkan tawaran terhebat, anda harus sekurang-kurang mendapatkan maklumat pinjaman daripada 3 buah bank ataupun syarikat kewangan. Ini akan memberikan anda peluang untuk membanding beza tawaran keatas pinjaman dan perkhidmatan yang disediakan. Dapatkan maklumat berkenaan kos, perkhidmatan dan lain-lain perkara berkaitan. Sila Rujuk Jadual A:

Jadual A

Maklumat

Bank 1

Bank 2

Bank 3

Nama syarikat/No telefon/Nama pegawai bertugas




Bentuk Pembiayaan: Pinjaman Berjangka/Kemudahan Overdraf/Gabungan keduanya




Kadar faedah: kadar faedah permulaan/kadar kaedah tahun berikutan/APR(kadar peratus tahunan)




Jumlah maksimum pinjaman:

Tidak termasuk insurans pembiayaan/Termasuk insurans pembiayaan




Bayaran pendahuluan:

Adakah anda dibenarkan membuat bayaran pendahuluan lebih dari kadar yang dibenarkan?




Tempoh masa proses pinjaman:

Berapa tempoh masa dijangka: Dari tempoh permohonan ke kelulusan pinjaman/ Kelulusan ke penutup




Kos Berkaitan: Yuran permohonan/Yuran guaman/Carian tajuk/Yuran penyediaan dokumen/lain-lain kos berkaitan




Anda diingatkan, sebahagian maklumat terutama berkenaan kadar faedah akan berubah dari masa ke semasa. Hubungi ketiga-tiga bank pada hari yang sama bagi mendapatkan perbezaan sebenar berkenaan kadar faedah!!!

Thursday, February 21, 2008

Bersediakah Anda Untuk Membeli Rumah?

Bersediakah Anda Untuk Membeli Rumah?

Bagi insan berpendapatan kategori sederhana, memiliki rumah adalah merupakan satu komitmen yang sangat besar dari segi kewangan.

Walau bagaimanapun, kerajaan sentiasa prihatin kepada permasalahan ini dengan memperkenalkan insentif baru bagi menggalakkan orang memiliki rumah sendiri. Sebagai contoh, pada tahun 2003, kerajaan telah memberi insentif istimewa kepada pembeli rumah seperti:

· Pengecualian Duti Setem bagi pembelian rumah dibawah RM180,000

· Pelepasan cukai atas faedah pinjaman perumahan

· Mempercepatkan pemberian Sijil Layak Duduk (CFO)

· Bagi rumah dibawah RM100,000 – bagi pembeli yang pertama kali membeli rumah, layak mendapat subsidi 3 peratus faedah dalam tahun pertama ATAU pinjaman tanpa faedah bagi tahun pertama sekiranya membayar 10 peratus deposit. Pinjaman hanya disediakan oleh Bank Simpanan Nasional. Bagi pinjaman yang melibatkan bank-bank lain, RM600 akan diberi dalam bentuk geran.

Pakej ini hanya terpakai kepada pembeli yang pertama kali membeli rumah sahaja.

Selain daripada itu, anda juga akan dapat meningkatkan kapital anda hasil daripada kenaikan harga dan nilai rumah pada setiap tahun apabila anda memiliki rumah sendiri. Sebagai contoh; katakan anda membeli sebuah rumah berharga RM170,000 dan peningkatan nilai rumah adalah pada kadar 6 peratus setahun. Dalam masa 10 tahun rumah anda akan bernilai lebih daripada RM304,000. Ini bermakna, pelaburan anda dengan membayar duit muka rumah sebanyak RM17,000 telah berganda menjadi RM151,000 atau 24 peratus pulangan setahun.

Apapun, sebelum anda mengambil keputusan untuk membeli rumah idaman anda, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah untuk mengira dan menjangka atas kemampuan anda sendiri. Tanya diri sendiri, “Berapa banyak yang aku mampu?”

Secara amnya, pembiayaan rumah bagi sebulan adalah antara lingkungan 25 hingga 30 peratus dari jumlah pendapatan anda. Ini juga bergantung kepada beberapa perkara seperti hutang dan sejarah kredit anda. Ingat! Jangan biarkan pihak bank yang menentukan berapa yang anda mampu.... Anda yang tentukan apakah kemampuan anda dengan membuat sedikit pengiraan matematik kerana hanya anda yang kenal diri anda sendiri.

  • Mula sekali, anda kena pastikan dan tentukan berapa banyak wang yang diperlukan bagi mencapai beberapa metlamat hidup anda seperti pelan persaraan dan pendidikan anak-anak anda.
  • Kedua, anda cuba jangkakan berapa yang diperlukan bagi menampung kos penyelenggaraan dan pembaikan bagi rumah setiap tahun( anggaran dalam lingkungan 1 – 3 peratus dari nilai tahunan rumah dan juga tertakluk kepada usia dan keadaan semasa rumah tersebut.
  • Akhir sekali, berapa wang yang diperlukan dari baki pendapatan anda bagi membiayaai kos rumah termasuk insurans dan cukai.

Setelah mengambil kira perkara-perkara diatas, dijangkakan, anda masih dalam keadaan selesa walaupun membelanjakan 25 peratus dari pendapatan bulanan anda keatas pembelian rumah tersebut. Anda juga mungkin perlu menurunkan kadar peratusan ini sekiranya anda merancang untuk mempunyai anak yang ramai, memiliki hobi mewah seperti gemar melancong dan juga sekiranya anda memiliki pendapatan tidak tetap.

Dapatkan pra kelulusan pembiayaan daripada bank.

Memandangkan sebahagian besar daripada jumlah pembayaran pembelian rumah (85 hingga 100 peratus) datang daripada bank, adalah bijak bagi anda mendapatkan pra kelulusan dari pihak bank berkenaan pinjaman bagi membantu anda:

· Tahu berapa banyak boleh pinjam?

· Pengesahan layak pinjam berasaskan kredit anda, maklumat kewangan dan maklumat pekerjaan.

· Mengukuhkan kedudukan anda bagi membuat penawaran ke atas rumah idaman.

Proses kelulusan adalah sebagaimana permohonan sebenar kecuali appraisal dan tajuk kerana tidak menyatakan rumah yang hendak dibeli. Dokumen yang diperlukan bagi tujuan ini adalah seperti yang diperlukan bagi permohonan sebenar pinjaman. Anda dinasihatkan supaya anda mendapatkan pra kelulusan dari beberapa bank yang berbeza bagi membuat perbandingan dan memilih bank yang menawarkan tawaran terbaik.

Sekarang anda sudah ada pra kelulusan pinjaman, apa yang perlu seterusnya anda lakukan adalah memikirkan tentang bayaran muka yang selalunya pada 10 peratus dari jumlah nilai rumah.

Membayar duit pendahuluan belian rumah.

Selain dari menggunakan duit simpanan, cara yang selalu digunakan wang bagi pembayaran duit pendahuluan adalah daripada KWSP. Bagi pencarum KWSP, anda ada tiga akaun dan anda dibenarkan untuk membuat pengeluaran dari Akaun II bagi tujuan pembeliaan rumah.

Untuk membuat pengeluaran dari simpanan KWSP, anda perlu memenuhi beberapa kriteria termasuklah:

  • Tidak pernah mengeluarkan wang dari akaun tersebut.
  • Sudah menandatangani surat perjanjian jual beli (S&P).
  • Masih belum mencapai umur 55 tahun.

Untuk belian rumah, jumlah yang boleh dikeluarkan oleh pencarum adalah seperti berikut:

  • Perbezaan antara harga jualan rumah dan jumlah pinjaman perumahan, ditambah dengan 10 peratus duit pendahuluan dari harga rumah; ATAU
  • Jumlah baki didalam Akaun II (yang mana lebih rendah), Rujuk Jadual A

Jadual A: Contoh Pengeluaran Dari Akaun II KWSP

Harga jualan rumah

Jumlah pinjaman perumahan

Perbezaan antara harga rumah dan jumlah pinjaman

Tambahan 10% dari harga rumah

Jumlah yang diperlukan untuk pengeluaran

Jumlah baki akaun II

Jumlah yang dibenarkan untuk tujuan pengeluaran

RM

170,000

153,000

17,000

17,000

34,000

20,000

20,000

Memandangkan baki didalam akaun II iaitu RM20,000 adalah lebih rendah dari pengiraan yang dibuat iaitu RM34,000 maka jumlah yang boleh dikeluarkan adalah RM20,000 sahaja. Cuma, diingatkan, kita layak untuk mengeluarkan wang lagi selepas 3 tahun bagi tujuan menyelesaikan bayaran tertunggak.

Kos-kos tersembunyi

Selain daripada duit pendahuluan dan bayaran bulanan pinjaman perumahan kepada pihak bank, ada beberapa kos tersembunyi yang perlu diambil kira. Ia termasuklah, yuran guaman bagi dokumentasi, duti stem dan bayaran premium insurans.

Jadual Pertama “Solicitors Remuneration Order 1991” telah menetapkan yuran yang boleh dikenakan oleh peguam bagi menguruskan S&P. Jumlah yuran adalah bergantung kepada harga sesebuah rumah:

  • 1 peratus bagi RM100,000 pertama
  • 0.5 peratus bagi RM4,900,000 seterusnya
  • 0.25 peratus bagi baki seterusnya

Ambil perhatian, untuk setiap S&P, peguam hanya boleh mengutip yuran guaman berdasarkan skala diatas daripada samada penjual atau pembeli dan bukan dari kedua-dua pihak. Anda harus faham, apabila pemaju tidak mengenakan yuran guaman itu bermaksud pemaju telah melantik peguam bagi mewakili pihak pemaju dan bukan anda sebagai pembeli. Jadi, pastikan anda juga mendapatkan seorang penasihat undang-undang sebelum anda menandatangani sesuatu perjanjian.

Duti stem dikenakan bagi dokumen pertukaran bergantung kepada harga rumah seperti dibawah:

  • 1 peratus bagi RM100,000 pertama
  • 2 peratus bagi RM400,000 seterusnya
  • 3 peratus bagi RM1,500,000 seterusnya, dan
  • 4 peratus bagi baki seterusnya

Tanyalah diri anda sekarang, mampukah anda memiliki sebuah rumah? Sekiranya jawapan anda YA, maka anda sudah boleh mula mencari rumah idaman anda tetapi sekiranya jawapan anda TIDAK saya nasihatkan anda perlu lebih berkerja keras dan mula menabung.

Tuesday, February 19, 2008

Bajet Sempurna Hidup Bahagia


Melupakan Bajet

Bila kita memperkatakan tentang bajet kebanyakkan orang akan samada tidak mengendahkannya ataupun akan memberi respon “Tiada masa – Saya terlalu sibuk”

Dua penyataan tadi merupakan antara alasan yang digunakan oleh mereka yang tidak ada menyediakan bajet untuk diri sendiri.

Jadi tidak menghairankan sekiranya bilangan insan yang mendapat status muflis meningkat dalam tahun kebelakangan ini.

Sekiranya kita tidak mahu terjerumus dengan masalah serius ini, menyediakan bajet patut menjadi amalan anda.

Dengan membuat bajet sendiri, anda akan lebih prihatin dalam menguruskan wang anda daripada membiarkan wang anda menguruskan diri anda. Ramai orang tidak menyedari bahawa rancangan kewangan sangat penting untuk perniagaan dan persendirian. Lebih awal anda memulakannya lebih baik kehidupan anda.

Kenapa perlu sediakan bajet?

Menetapkan had perbelanjaan

Penyediaan bajet sendiri yang baik adalah dengan menetapkan had jumlah wang yang anda belanjakan dan merekodkan jumlah pendapatan yang diterima, baki hutang yang perlu dijelaskan, simpanan persaraan dan tabung kecemasan.

Boleh mengesan perbelanjaan dan pembiayaan

Kebiasaannya kita tidak menyimpan rekod dan gagal mengesan dengan baik dimana dan bagaimana kita belanjakan sejumlah wang kita dan wang ini selalunya dibazirkan dengan pembelian yang remeh temeh. Bajet akan membantu kita menghalang daripada ia berlaku dengan menjadikan kita bertanggung jawab kepada wang yang kita belanjakan setiap hari.

Membangunkan belanja berwibawa

Bajet memberi gambaran yang tepat banyak mana jumlah yang mampu kita bayar untuk pelbagai barangan pengguna. Samada ia rumah, kereta atau sebuah peti televisyen, kita boleh menentukan samada pembelian kita itu pasti atau tidak didalam lingkungan sekatan kewangan kita. Amalan ini adalah sebagai pengawal yang mengawal kita dari bertindak luar kawalan dan melampau.

Mengenalpasti tabiat berbelanja

Ia banyak membantu dalam mengesan bagaimana caranya kita membelanjakan wang kita sekarang. Sila rujuk penyata bank terbaru untuk mendapatkan idea berkenaan perbelanjaan bulan semasa. Kemudian, cuba kesan setiap sen yang anda belanjakan untuk 30 hari seterusnya bagi mengetahui kemana wang anda pergi. Bila anda kenal pasti tabiat berbelanja, lebih mudah bagi anda untuk mengurangkan kos perbelanjaan yang dirasakan tidak perlu.

Dimana kita patut mulakan?

Untuk menyediakan bajet yang sesuai, perkara pertama yang kita perlu lakukan ialah menentukan corak perbelanjaan ke atas belanja jenis tetap dan belanja jenis berubah.

Belanja tetap termasuklah bayaran gadai janji dan pinjaman, manakala belanja berubah ialah apa yang kita bayar untuk belian majalah, pakaian, keluar makan dan lain-lain lagi. Mengurangkan perbelanjaan jenis berubah lebih mudah kerana kita boleh teruskan hidup tanpa perlu kepada banyak perkara tersebut. Sekarang mari kita lihat bagaimana kita dapat mengurangkan perbelanjaan tersebut.

Gunakan kad kredit dengan bijak

Kad kredit merupakan item perlu ada didalam beg duit kebanyakkan orang pada hari ini. Tetapi perlu diingat ia boleh memusnahkan bajet yang kita sediakan dengan kadar bunga yang tinggi. Untuk mengelakkan diri dari dikenakan caj tersebut, pastikan kita menyelesaikan pembayaran kad kredit sebelum tarikh patut bayar untuk mengelakkan dikenakan caj penalti lambat bayar. Dan sekiranya kita ada duit lebih, bayarlah lebih daripada jumlah minimum yang perlu bayar.

Kurangkan belian dengan menggunakan kad kredit. Gunakan hanya bila anda rasa anda sangat perlu menggunakannya.

Sediakan makanan tengahari dari rumah

Bunyinya macam kelakar, tapi cubalah anda akan tahu apa yang anda dapat jimatkan dari amalan ini. Cuba anda bayangkan, belanja makanan satu hari boleh mencecah RM5 hingga RM10 seorang. Cuba anda sediakan sendiri makanan untuk 2 atau 3 kali seminggu, percaya atau tidak anda dengan mudah sudah berjimat sebanyak RM120 sebulan atau RM1,440 setahun. Berbaloikah?

Bijak Berbelanja

Cubalah tips bijak berbelanja seperti saya. Mula sekali, tuliskan senarai semua item yang anda mahu beli dan beli hanya barang yang ada didalam senarai sahaja. Apa sahaja yang barang anda ingin beli tidak ada dalam senarai dan selalunya berlaku secara spontan bolehlah anda cuba elakkan dan anggapkan ia merupakan belian tidak perlu.

Berbelanja ketika perut sudah kenyang atau anda akan membeli makanan berlebihan dari anda perlukan. Cuba elakkan tabiat ‘window shopping’ , buat terjebak sahaja dan akan menyebabkan anda membeli barang yang tidak perlukan pada masa ini.

Gunakan masa dengan baik bersama keluarga dan rakan-rakan dengan melawat mereka atau keluar jalan-jalan ke taman rekreasi daripada ke kompleks membeli belah.

Berkongsi suratkhabar, majalah dan buku

Segelintir daripada kita berbelanja lebih dari RM100 sebulan untuk membeli majalah dan buku.

Berkongsi kos tersebut dengan mengambil giliran membeli terbitan dikalangan kawan dan kenalan banyak menyelamatkan duit dari terbang dari poket anda. Atau anda boleh mencuba tabiat membeli buku terpakai.

Hari ini sudah banyak kedai yang menguruskan bentuk perniagaan buku terpakai. Jenis buku pula terdiri dari pelbagai jenis termasuklah bertemakan cinta dan politik.

Kita juga boleh menyewa buku yang kita rasakan kita tidak mahu menyimpannya sebagai koleksi kerana kos sewaan jauh lebih murah.

Banyak cara yang boleh kita lakukan untuk menjimatkan kos. Apa yang perlu ada didalam diri adalah azam yang kuat untuk berjimat cermat dan menjadi lebih kreatif.

Untuk mengurangkan belanja tetap adalah lebih sukar kerana ia memerlukan pengorbanan yang lebih dari kita. Sebagai contoh, kita mungkin perlu menjualkan rumah dan berpindah ke rumah sewa yang lebih kecil dan murah untuk menyesuaikannya dengan keupayaan bajet kita.

Kita juga terpaksa melepaskan kereta dan menggunakan kenderaan awam sebagai pengangkutan. Tetapi, kehilangan kemewahan dalam kehidupan hanyalah bersifat sementara.

Bila kita sudah berjaya meletakkan tahap kewangan kita dengan betul dan baik, kita mungkin boleh membeli dan memiliki kemewahan itu sekali lagi.

Bajet yang ideal

Merujuk kepada beberapa pakar, bajet yang dikategori sebagai ideal seharusnya terdiri daripada gabungan seperti didalam Jadual 1:

Jadual 1

Gabungan Bajet Yang Ideal

Butiran

Peratus

Belanja

Simpanan Jangka Pendek

*Simpanan Jangka Panjang

*Duit Berhibur

*Pelan Persaraan

60%

10%

10%

10%

10%

Secara ideal, kita patut memperuntukkan 60% daripada keseluruhan pendapatan sebagai belanja tetap dan 10% untuk simpanan. Butiran lain bertanda *, peruntukkannya boleh ditukar ganti mengikut keperluan dan kepentingan. Peruntukkan “duit Berhibur” bolehlah anda gunakan untuk apa-apa sahaja selagi tidak melebihi 10 peratus. Oleh itu, latihlah diri anda berbelanja mengikut kemampuan dan anda disarankan tidak menggunakan lebih daripada 70% daripada jumlah pendapatan.

Displin, displin, displin

Seperti anda melihat orang yang mengamalkan diet pemakanan, penyediaan bajet juga memerluka displin yang tinggi untuk berjaya. Anda akan rasa ia agak sukar pada peringkat permulaan, tetapi bila kita sudah membiasakan diri dengannya, penyediaan bajet akan menjadi satu tabiat yang baik. Bagi memastikan usaha ini ada kesinambungan, dapatkan nasihat dan sokongan daripada keluarga dan sahabat handai.

Kepada mereka yang ditimbuni hutang, inilah masanya anda menyediakan bajet secara serius dan membetulkan apa yang salah bagi menyelesaikan masalah.

Dan kepada yang menikmati lebihan pendapatan, urus bajet anda dengan bijak dan tambahkan nilai pada diri anda.