Cuma AKU

Cuma AKU

Thursday, April 17, 2008

Tips Kewangan - Rancangan Kewangan Keluarga

RANCANG KEWANGAN KELUARGA

Bila bergelar suami isteri, pasangan harus menentukan sama ada ingin memasukkan semua gaji mereka dalam akaun bersama atau sebaliknya.
Jika memilih untuk menguruskan secara berasingan, perlu menetapkan siapa menanggung kos bagi setiap perbelanjaan. Pastikan pembahagian dijalankan secara adil. Pastikan jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan daripada setiap wang gaji diterima tidak lebih daripada 70 peratus daripada wang gaji bersih yang diterima.
Ini beerti bagi setiap RM1,000 wang gaji, hanya boleh membelanjakan RM700. Hukum ini perlu dikekalkan selamanya.
Buka dua akaun lagi bagi menempatkan 30 peratus wang gaji yang belum digunakan. Letakkan 10 peratus daripada wang gaji itu didalam akaun satu (akaun simpanan) manakala 20 peratus lagi dalam akaun kedua (akaun kecemasan).
Terus menyimpan di dalam akaun kedua sebanyak 20 peratus daripada wang gaji bersih pada setiap bulan sehingga ia menyamai enam bulan wang gaji kasar.
Contohnya, jika mendapat RM2,000 bersih pada setiap bulan, perlu menyimpan sebanyak RM400 dalam akaun kedua pada setiap bulan sehingga jumlahnya manjadi RM12,000.
Apabila wang dalam akaun kedua itu menyamai gaji selama 6 bulan, pada bulan seterusnya pula ambil wang sebanyak 20 peratus itu untuk disimpan dalam akaun satu iaitu akaun simpanan. Setiap pasangan perlu menyimpan didalam akaun kecemasan sebanyak enam kali gaji kasar yang mereka terima setiap bulan.
Gunakan wang dalam akaun satu untuk melabur ditempat yang sah disisi undang-undang. Tujuannya untuk mengelakkan wang dimakan oleh inflasi serta menjamin keperluan semasa dan masa depan terutama ketika kos barangan semakin tinggi.
Jangan gunakan wang dalam akaun kecemasan untuk kegunaan peribadi yang tiada kaitan dengan keperluan kecemasan. Antara kes kecemasan adalah kemalangan dan kerosakan kereta.
Jangan rompak diri sendiri yang lazimnya berlaku bila anda atau pasangan tidak dapat mendisplinkan diri. Ini berlaku bila semua wang gaji dibelanjakan dan tiada wang kecemasan.
Pastikan diri dilengkapi pelbagai adab seperti adab masuk ke pasar raya. Apabila memasuki pasar raya, pastikan diri tidak berada dalam keadaan lapar dan masuk dengan membawa senarai.
Pastikan diri dan pasangan membentangkan bajet keluarga pada setiap bulan di atas meja makan untuk mengetahui perbelanjaan semasa.
Kesilapan dalam merancang wang gaji menyebabkan diri menanggung bebanan hutang sepanjang hayat.
Jangan biarkan bank menentukan masa depan dengan membiarkan mereka menentukan jumlah pinjaman yang perlu anda ambil.
Jangan mengambil pinjaman maksimum untuk harta yang membebankan seperti kereta. Sebaiknya ambil pinjaman yang tidak melebihi empat tahun.
Terus mendalami ilmu kewangan kerana setiap hari ada pelbagai perangkap kewangan yang mampu menyebabkan diri merana sepanjang hayat. Beringat sebelum terkena terutama kad kredit dan skim ansuran mudah yang mampu menjadikan diri hamba kepadanya sepanjang hayat.
Dipetik dari Harian Metro 17 April 2008.