Cuma AKU

Cuma AKU

Sunday, April 6, 2014

Aku dan Bekam

Seumur hidup ku, belum pernah berbekam. Hingga lah semalam 5/4/2014 aku mencuba buat pertama kalinya. Selalu juga ku dengar tentang jenis rawatan ini namun tidak pernah ku cuba. Ku cuba rawatan SUNNAH NABI ini bagi mengurangkan rasa sakit migraine yang kerap menyerang kebelakangan ini. Bila ia menyerang, terbaring ku dibuatnya. Ubatnya... pil pain killer. Hilang sakit bila ditelan tapi doktor nasihat jangan diamal, kelak merosakkan buah pinggang. Jadi akhirnya ku cuba juga rawatan ini.
 
Appointment telah dijanjikan tepat jam 8.30 aku muncul di Seksyen 16, Shah Alam. Dengan bantuan WAZE dan satu panggilan telefon, Puan Sharifah aku berjaya menemukan tempat rawatan yang dicari. Aku disambut Puan Sharifah di muka pintu kedai dan bertemu Tuan ZUL di dalamnya. Tuan ZUL ini lah yang bakal memberikan rawatan bekam kepada pesakit lelaki di sini.
 
Setelah mendapat sedikit penerangan daripada Tuan ZUL, aku dijemput ke ruang rawatan dan diminta untuk menukar pakaian. Berbekal sehelai kain sarung, aku berbaring di katil yang tersedia bagi memulakan rawatan. Dimulakan dengan Bismillah... Aku disapukan sejenis minyak di belakang badan, kaki dan kepala. Rawatan bekam dimulakan di kepala dahulu. Istimewa bekam disini, bekam kepala tidak memerlukan aku di cukur kepala. Bekam menggunakan mesin cuma harganya satu cup RM10 sahaja. Bila mesin dihidupkan aku terasa satu sedutan yang sangat kuat menarik kulit kepala ku. Mulanya sangat tidak selesa tapi lama kelamaan kesakitan dan rasa tidak selesa itu mula beransur hilang. Secara keseluruhan aku dibekam sejumlah 23 cup seluruh badan. 1 di kepala, 3 di tengkuk, 9 di belakang badan dan 10 di peha hingga ke kaki (5 setiap satu kaki). Harganya biar kuceritakan di hujung nukilan ku ini.
 
Bekam ini dimulakan dengan BEKAM ANGIN. Sedut kosong tanpa perlu kulit dilukakan. Hasilnya, kulit ku bagai disedut2 hingga membentuk gelembung bulat dan sedikit kebas. Lebih kurang 5 minit selepas itu, setiap satu cup mula dibuka dengan dimulakan dari kepala hingga ke kaki. Dibuka setiap satu bagi operasi melukakan lapisan kulit dimulakan. Kulit ku dilukakan dengan menggunakan sejenis alat berbentuk pen yang bila dipicit akan mengeluarkan jarum yang tajam. Alat ini digunakan untuk mencucuk ke permukaan kulit bagi memberi aliran darah keluar bila dibekam. Kalau sesiapa yang pernah menerima rawatan kencing manis tentu tahu mengenai alatan ini yang digunakan bagi melukakan hujung jari bagi mengeluarkan darah. Bezanya, bagi pesakit kencing manis, ia dicucuk sekali sahaja namun semalam untuk setiap kawasan yang akan dibekam aku rasa aku telah dicucuk lebih 10 kali hehehheheheh agak sakit juga.
 
Setiap cup bekam, akan dibuka 2 kali bagi membersihkan darah dan setiap kali dibuka, kawasan bekam itu akan dicucuk lagi. Kenapa? emmm kena Tanya Tuan ZUL. Aku tidak bertanya sebab menahan sakit. Almaklum lah, pertama kali. Ngilu gak.
 
Rasa yang sangat mencengkam amat kurasakan di tengkuk dan pelipat kaki. Dua kawasan ini memang memberi kesan kesakitan sedikit berbeza dengan kawasan lain. Aku terbaring meniarap diam menahan pelbagai rasa. Niatku moga kesakitan ini bakal menghilangkan atau mungkin mengurangkan kesakitan migrain ku yang kerap menyerang.
 
Lebih kurang hampir sejam rawatan pun selesai. Kelegaan kurasakan setiap kali cup bekam ini dibuka dan dicabut dari tubuh badan ku. Sempat Tuan ZUL merakamkan gambar ku dibekam dengan HP. Aku juga ditunjukkan darah yang keluar dari bekas tempat bekam. Ada yang merah ada juga yang agak hitam berketul-ketul. Bangun dari katil rawatan, ada rasa kelegaan pada kepala ku. Syukur. Badan juga terasa lebih selesa dan ringan.
 
Caj rawatan di sini agak berpatutan. Setiap cup RM5.00 sahaja kecuali di kepala yang dibekam guna mesin harganya RM10.00. Rawatan ku semalam dipanggil PAKEJ OVERHOUL dan harganya cuma RM110.00 untuk 23 cup keseluruhan. Ini pengalaman pertama kali ku. Berbekam adalah SUNNAH NABI. Sekurang-kurangnya kita sebagai umat harus mencuba sekali seumur hidup. Pinjam ayat Tuan ZUL semalam. InsyaAllah andai diizinkan Allah, aku akan datang untuk rawatan ulangan. Seeloknya sebulan sekali atau 3 bulan sekali.
 
Aku sertakan sekali sedikit INFO lokasi ku berbekam semalam. Kalian sila la cuba.
 
BEKAM SUNNAH IBLAL HIRASAH
NO.2, BLOK 20, FLAT PKNS
JALAN DAWAI 16/2, SEKSYEN 16, SHAH ALAM
019 - 3216474 (PUAN SHARIFAH)
 
 

Saturday, April 5, 2014

Buku dan Aku

Antara dua perkataan pada tajuk entri kali ini ada persamaan dan perbezaan. Bunyi seakan sama dihujungnya. Mulanya sedikit lain jika dieja. Jelasnya ia membawa maksud yang lain cuma kaitan antara keduanya agak rapat walaupun jarang-jarang bersama. Aku adalah aku dan aku seorang yang suka buku namun bukanlah seorang ulat buku. Pada masa senggang ku, buku selalu jadi pendamping cuma masa yang senggang ini jarang-jarang datang menyapaku. Walaupun jarang bersua, sekali kala bertembung tidak pula menjadi canggung dan kelu. Senyum di bibir terukir bila berjumpa buku yang baik. Tidak ada satu judul tertentu dicari setiap kali kaki melangkah mendekati. Premis yang tersergam yang membariskan judul-judul hebat namun tak satu pun yang ku tahu asal usulnya.
 
Aku lebih suka melihat judul yang ku rasakan ia berbeza dan lari dari aliran yang selalu kutemui. Saiz tubuhnya juga pasti menjadi faktor pilihan. Demi masa senggang ku yang agak sedikit selalunya menjadikan si nipis dan tidak terlalu gemuk menjadi pilihanku. Aku selalu berprasangka bahawa aku tidak layak memiliki yang tebal-tebal kerana mereka cuma bakal ku abaikan di rak-rak yang hanya tersusun rapi. Dan selalunya prasangka ku itu tepat. Masih ada yang belum ku usik, cantik berplastik mungkin. Ada yang bernasib baik telah ku uli sedikit namun tidak kesampaian ke penghujung.
 
Aku ini cepat bosan. Untuk aku minat sesuatu buku kadang kala ia datang bermusim. Ia seperti trend terkini. Ikut trend katanya. Suatu ketika dahulu, aku gilakan buku AZIZI ALI, seorang pilot yang kaya kerana menulis buku. Hampir semua judulnya aku miliki. Hebatnya penulis ini, mampu merubah aku berfikir lebih baik. Tergaris di dalam penulisannya, panduan yang andai ikuti mampu menjadikan aku seorang berjaya. Cerita pasal jutawan, kisah pasal hartanah, coretan pasal Jupiter menjadikan aku orang yang berfikir. Pilot ini berjaya. Mampukah aku menjadi seperti dia?. Selalunya buku-buku semangat ini mampu merubah corak hidupku utnuk tempoh masa tertentu tetapi percaya atau tidak, aku masih gagal menjadi seperti apa yang diharapkan oleh penulis. Sebab aku ini cepat bosan. Banyak coretan yang tidak ku tamatkan.
 
Sebelum membuat coretan ini, aku baru membelek buku Dr. HM Tuah. Buku ini kalau tidak silap telah pun aku miliki 3 tahun yang lalu dan hari ini aku masih di tengah-tengah ketebalan buku yang tidak tebal ini. Belum habis aku membacanya. Aku suka bukan tidak suka, cuma aku belum berjaya habiskan pembacaan. Doakan aku menjadi hebat seperti dua penulis kesayangan ku ini. Mereka idola ku. Jangan kalian beritahu mereka bahawa aku peminat yang tidak membaca buku mereka hingga ke muka surat terakhir. Malu ku nanti.....
 
Aku seorang je ada jawapan kepada persoalan itu.

Friday, April 4, 2014

Musibah Melanda Malaysia

Belum reda akan kehilangan MH370, Malaysia dilanda musibah lagi. Pagi-pagi buka surat khabar terbaca 2 orang diculik orang dari Singamata Reef Resort di perairan Semporna, Sabah. Seorang daripadanya dipercayai warga China yang juga seorang pelajar universiti manakala seorang lagi pekerja resort warga Filipina. Kalau tidak silap, November tahun lalu kita dikejutkan dengan kes bunuh seorang warga Taiwan dan culik pasangannya. Malaysia sekali lagi menjadi perhatian dunia. Mungkin aku orang kerdil yang tertanya-tanya, mudahnya perairan kita diceroboh acapkali. Adakah kita tidak belajar dari kejadian lalu? Bangkitlah negaraku...  

Apa-apa sahaja

Lama tidak ku coret apa-apa di sini. Walau banyak yang berligar difikiran namun tidak berpeluang ia di coret menjadi cerita. Hari ini aku baru pulang dari Johor Bahru. Aku naik kapal terbang. Ya... MH1037. Semenjak kejadian kehilangan MH370, aku jadi agak kecut untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam ini. Pengalaman menaiki kapal terbang dalam kerisauan menjadikan aku lebih menghargai nikmat hidup dan ingat akan kematian. Menjadikan aku lebih baik dari sebelum, lebih menjadi insan yang lebih baik dari dulu-dulu. InsyaAllah