Cuma AKU

Cuma AKU

Thursday, February 21, 2008

Bersediakah Anda Untuk Membeli Rumah?

Bersediakah Anda Untuk Membeli Rumah?

Bagi insan berpendapatan kategori sederhana, memiliki rumah adalah merupakan satu komitmen yang sangat besar dari segi kewangan.

Walau bagaimanapun, kerajaan sentiasa prihatin kepada permasalahan ini dengan memperkenalkan insentif baru bagi menggalakkan orang memiliki rumah sendiri. Sebagai contoh, pada tahun 2003, kerajaan telah memberi insentif istimewa kepada pembeli rumah seperti:

· Pengecualian Duti Setem bagi pembelian rumah dibawah RM180,000

· Pelepasan cukai atas faedah pinjaman perumahan

· Mempercepatkan pemberian Sijil Layak Duduk (CFO)

· Bagi rumah dibawah RM100,000 – bagi pembeli yang pertama kali membeli rumah, layak mendapat subsidi 3 peratus faedah dalam tahun pertama ATAU pinjaman tanpa faedah bagi tahun pertama sekiranya membayar 10 peratus deposit. Pinjaman hanya disediakan oleh Bank Simpanan Nasional. Bagi pinjaman yang melibatkan bank-bank lain, RM600 akan diberi dalam bentuk geran.

Pakej ini hanya terpakai kepada pembeli yang pertama kali membeli rumah sahaja.

Selain daripada itu, anda juga akan dapat meningkatkan kapital anda hasil daripada kenaikan harga dan nilai rumah pada setiap tahun apabila anda memiliki rumah sendiri. Sebagai contoh; katakan anda membeli sebuah rumah berharga RM170,000 dan peningkatan nilai rumah adalah pada kadar 6 peratus setahun. Dalam masa 10 tahun rumah anda akan bernilai lebih daripada RM304,000. Ini bermakna, pelaburan anda dengan membayar duit muka rumah sebanyak RM17,000 telah berganda menjadi RM151,000 atau 24 peratus pulangan setahun.

Apapun, sebelum anda mengambil keputusan untuk membeli rumah idaman anda, perkara pertama yang anda perlu lakukan adalah untuk mengira dan menjangka atas kemampuan anda sendiri. Tanya diri sendiri, “Berapa banyak yang aku mampu?”

Secara amnya, pembiayaan rumah bagi sebulan adalah antara lingkungan 25 hingga 30 peratus dari jumlah pendapatan anda. Ini juga bergantung kepada beberapa perkara seperti hutang dan sejarah kredit anda. Ingat! Jangan biarkan pihak bank yang menentukan berapa yang anda mampu.... Anda yang tentukan apakah kemampuan anda dengan membuat sedikit pengiraan matematik kerana hanya anda yang kenal diri anda sendiri.

  • Mula sekali, anda kena pastikan dan tentukan berapa banyak wang yang diperlukan bagi mencapai beberapa metlamat hidup anda seperti pelan persaraan dan pendidikan anak-anak anda.
  • Kedua, anda cuba jangkakan berapa yang diperlukan bagi menampung kos penyelenggaraan dan pembaikan bagi rumah setiap tahun( anggaran dalam lingkungan 1 – 3 peratus dari nilai tahunan rumah dan juga tertakluk kepada usia dan keadaan semasa rumah tersebut.
  • Akhir sekali, berapa wang yang diperlukan dari baki pendapatan anda bagi membiayaai kos rumah termasuk insurans dan cukai.

Setelah mengambil kira perkara-perkara diatas, dijangkakan, anda masih dalam keadaan selesa walaupun membelanjakan 25 peratus dari pendapatan bulanan anda keatas pembelian rumah tersebut. Anda juga mungkin perlu menurunkan kadar peratusan ini sekiranya anda merancang untuk mempunyai anak yang ramai, memiliki hobi mewah seperti gemar melancong dan juga sekiranya anda memiliki pendapatan tidak tetap.

Dapatkan pra kelulusan pembiayaan daripada bank.

Memandangkan sebahagian besar daripada jumlah pembayaran pembelian rumah (85 hingga 100 peratus) datang daripada bank, adalah bijak bagi anda mendapatkan pra kelulusan dari pihak bank berkenaan pinjaman bagi membantu anda:

· Tahu berapa banyak boleh pinjam?

· Pengesahan layak pinjam berasaskan kredit anda, maklumat kewangan dan maklumat pekerjaan.

· Mengukuhkan kedudukan anda bagi membuat penawaran ke atas rumah idaman.

Proses kelulusan adalah sebagaimana permohonan sebenar kecuali appraisal dan tajuk kerana tidak menyatakan rumah yang hendak dibeli. Dokumen yang diperlukan bagi tujuan ini adalah seperti yang diperlukan bagi permohonan sebenar pinjaman. Anda dinasihatkan supaya anda mendapatkan pra kelulusan dari beberapa bank yang berbeza bagi membuat perbandingan dan memilih bank yang menawarkan tawaran terbaik.

Sekarang anda sudah ada pra kelulusan pinjaman, apa yang perlu seterusnya anda lakukan adalah memikirkan tentang bayaran muka yang selalunya pada 10 peratus dari jumlah nilai rumah.

Membayar duit pendahuluan belian rumah.

Selain dari menggunakan duit simpanan, cara yang selalu digunakan wang bagi pembayaran duit pendahuluan adalah daripada KWSP. Bagi pencarum KWSP, anda ada tiga akaun dan anda dibenarkan untuk membuat pengeluaran dari Akaun II bagi tujuan pembeliaan rumah.

Untuk membuat pengeluaran dari simpanan KWSP, anda perlu memenuhi beberapa kriteria termasuklah:

  • Tidak pernah mengeluarkan wang dari akaun tersebut.
  • Sudah menandatangani surat perjanjian jual beli (S&P).
  • Masih belum mencapai umur 55 tahun.

Untuk belian rumah, jumlah yang boleh dikeluarkan oleh pencarum adalah seperti berikut:

  • Perbezaan antara harga jualan rumah dan jumlah pinjaman perumahan, ditambah dengan 10 peratus duit pendahuluan dari harga rumah; ATAU
  • Jumlah baki didalam Akaun II (yang mana lebih rendah), Rujuk Jadual A

Jadual A: Contoh Pengeluaran Dari Akaun II KWSP

Harga jualan rumah

Jumlah pinjaman perumahan

Perbezaan antara harga rumah dan jumlah pinjaman

Tambahan 10% dari harga rumah

Jumlah yang diperlukan untuk pengeluaran

Jumlah baki akaun II

Jumlah yang dibenarkan untuk tujuan pengeluaran

RM

170,000

153,000

17,000

17,000

34,000

20,000

20,000

Memandangkan baki didalam akaun II iaitu RM20,000 adalah lebih rendah dari pengiraan yang dibuat iaitu RM34,000 maka jumlah yang boleh dikeluarkan adalah RM20,000 sahaja. Cuma, diingatkan, kita layak untuk mengeluarkan wang lagi selepas 3 tahun bagi tujuan menyelesaikan bayaran tertunggak.

Kos-kos tersembunyi

Selain daripada duit pendahuluan dan bayaran bulanan pinjaman perumahan kepada pihak bank, ada beberapa kos tersembunyi yang perlu diambil kira. Ia termasuklah, yuran guaman bagi dokumentasi, duti stem dan bayaran premium insurans.

Jadual Pertama “Solicitors Remuneration Order 1991” telah menetapkan yuran yang boleh dikenakan oleh peguam bagi menguruskan S&P. Jumlah yuran adalah bergantung kepada harga sesebuah rumah:

  • 1 peratus bagi RM100,000 pertama
  • 0.5 peratus bagi RM4,900,000 seterusnya
  • 0.25 peratus bagi baki seterusnya

Ambil perhatian, untuk setiap S&P, peguam hanya boleh mengutip yuran guaman berdasarkan skala diatas daripada samada penjual atau pembeli dan bukan dari kedua-dua pihak. Anda harus faham, apabila pemaju tidak mengenakan yuran guaman itu bermaksud pemaju telah melantik peguam bagi mewakili pihak pemaju dan bukan anda sebagai pembeli. Jadi, pastikan anda juga mendapatkan seorang penasihat undang-undang sebelum anda menandatangani sesuatu perjanjian.

Duti stem dikenakan bagi dokumen pertukaran bergantung kepada harga rumah seperti dibawah:

  • 1 peratus bagi RM100,000 pertama
  • 2 peratus bagi RM400,000 seterusnya
  • 3 peratus bagi RM1,500,000 seterusnya, dan
  • 4 peratus bagi baki seterusnya

Tanyalah diri anda sekarang, mampukah anda memiliki sebuah rumah? Sekiranya jawapan anda YA, maka anda sudah boleh mula mencari rumah idaman anda tetapi sekiranya jawapan anda TIDAK saya nasihatkan anda perlu lebih berkerja keras dan mula menabung.

No comments: