Cuma AKU

Cuma AKU

Thursday, February 19, 2009

Tesco - Harga Rendah Setiap Hari

Sejak bermula era pasaraya besar, boleh dikatakan banyak pasaraya mini mula ditunjukkan jalan keluar dari industri peruncitan di Malaysia. Kalau anda tidak percaya, cuba lihat disekeliling anda, masihkah ada banyak pasaraya mini? Kalau mungkin ada pun seperti hidup segan, mati tak mahu.

Apa keistimewaan pasaraya besar sehingga banyak insan dari golongan sederhana yang menjalankan perniagaan jenis ini gulung tikar? Menurut pakar ekonomi, peruncitan yang diamalkan di Malaysia merupakan satu oligopoli. Oligopoli bermaksud, syarikat yang teribat yang menguasai industri ini tidak lah banyak bilangannya. Bagi mereka yang baru untuk memasuki industri ini akan mendapati ia adalah satu langkah yang sukar. Disebabkan bilangan penjual agak sedikit, setiap langkah atau tindakan pesaing akan diperhatikan. Peniaga akan bertindak segera bagi menyaingi pesaing bagi setiap langkah yang mereka ambil, samada menaikkan harga atau menurunkan harga.

Tesco merupakan peruncit kelima terbesar di dunia dalam industri peruncitan. Ditubuhkan pada 1924 oleh Jack Cohen, yang memulakan perniagaan dengan membeli dan menjual barangan yang agak rosak pada harga berpatutan. Pada asalnya, Tesco lebih kepada jualan barang berbentuk makanan dan akhirnya mengembangkan kepada barangan seperti pakaian, barangan elektrik, internet dan perkhidmatan kewangan.

Tesco percaya bahawa setiap pelanggannya mahukan harga yang terbaik bagi wang yang dibelanjakan. Oleh itu, Tesco sentiasa berusaha untuk memastikan harga yang ditawarkan adalah yang terendah, tanpa mengabaikan kualiti barangan.

Tahukan anda, bahawa Tesco mempunyai 5 format pasaraya yang berbeza bagi memenuhi kehendak pelanggan yang berbeza-beza. Ia bagi membezakan Tesco dari pesaing seperti Jusco, Carrefour dan Giant. Format pasaraya yang diamalkan adalah Extra, Superstore, Metro, Express dan Homeplus. Extra - mempunyai keluasan 60,000 kaki persegi. Sasaran mereka untuk menjadi satu perhentian destinasi belibelah yang menjual makanan dan pelbagai barangan seperti barang elektrik, pakaian, barangan kecantikan, keperluan harian, barangan bermusim dan sehingga ke perkakasan. Superstore - Bentuk tradisional bersaiz lingkungan 20,000 hingga 50,000 kaki persegi, mengutamakan barang makanan tetapi tetap menjual pelbagai barangan keperluan lain. Metro - pasaraya kecil bersaiz 7,000- 15,000 kaki persegi, menjual barang makanan yang siap untuk dimakan. Selalunya diletakkan dilokasi tengah bandar dan selalunya dikunjungi oleh pelanggan yang dikategori sibuk dan tiada masa. Express - merupakan kedai keperluan serbanika bersaiz 3,000 kaki persegi. Lokasi berhampiran kawasan kediaman dan pejabat koperat. Dan yang terakhir, Homeplus - keluasan dalam lingkungan 35,000 hingga 50,000 kaki persegi dan hanya menjual barangan selain makanan seperti pakaian.

Tesco merasakan mereka perlu memahami kehendak dan keperluan pelanggan dan belajar untuk segera bertindak bagi apa-apa tindakan pelanggan mereka. Strategi ini banyak membantu mereka untuk menyediakan produk dan perkhidmatan yang sesuai dengan perubahan kepada kehendak pelanggan seperti kesedaran tentang kesihatan, pertambahan jumlah bilangan ibu yang bekerja dan lain-lain lagi. Mereka mampu lakukan kerana setiap tahun mereka akan mengadakan forum tahunan yang dipanggil, "Masanya untuk pelanggan bertanya". Selalunya hampir 12,000 pelanggan akan datang untuk memberi komen dan idea terhadap produk dan perkhidmatan yang tesco sediakan. Penyediaan talian pelanggan juga banyak membantu dalam hal penyelesaian masalah terutama pelanggan.

Terdapat pelbagai strategi perletakkan harga bagi mereka yang berada dalam persaingan oligopoli. Menurut kajian, Tesco juga mengamalkan pelabagai bentuk strategi. Cuma dalam artikel ini kita tumpakan kepada strategi Harga Rendah Setiap Hari dan Dasar Harga Sama dengan Pesaing. Ini umpama satu janji Tesco untuk menyediakan harga terendah atau lebih rendah dari pesaing mereka bagi barangan yang sama. Sekiranya pelanggan dapat membuktikan barangan yang dibeli lebih mahal dari tempat lain, pihak Tesco akan memulangkan duit hanya semata untuk meletakkan harga pada harga yang sama kepada pesaing mereka. Tetapi Tesco tidak menawarkan kepada semua jenis barangan tetapi kepada sebilangan dan tertakluk kepada tempoh masa yang ditawarkan. Bermakna, harga bagi sesuatu barangan yang ditawarkan harga rendah untuk minggu ini mungkin tiada dalam senarai harga rendah minggu atau bulan hadapan.
Apa yang pasti, strategi ini mengundang kepada perang harga antara pesaing dalam industri yang sama.

Menurut satu sumber, Tesco yang mula memasuki pasaran di Malaysia pada tahun 2002 telah memiliki lebih dari 19 pasaraya yang menjana kepada pendapatan lebih RM 1,200,000. Walaupun secara logik pasaraya besar seperti Tesco ini telah menutup peluang perniagaan peruncit kecil tetapi dari satu sudut lain, ia juga membantu dalam menjana pendapatan negara dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

No comments: