Cuma AKU

Cuma AKU

Tuesday, March 25, 2008

Tips Kewangan - Membeli Insurans Diri

Tips Membeli Insurans

Kita mungkin agak biasa dengan perkataan insurans tetapi adakah kita benar-benar memahami apa itu insurans dalam erti kata sebenar?

Memiliki polisi insurans adalah langkah bijak dalam menghadapi risiko yang tidak dijangka pada seseorang individu yang boleh menyebabkan dan memerlukan dia mengeluarkan sejumlah wang yang banyak bagi menangani kehilangan ataupun kecederaan yang menimpa.

Insurans adalah langkah keselamatan dari segi kewangan. Ada pelbagai jenis polisi insurans yang melindungi berkenaan kebakaran, kemalangan, kecurian, mengidap penyakit dan malapetaka.

Insurans berkaitan kenderaan adalah merupakan yang tertinggi dari segi bilangan polisi – 3.6 juta dalam tahun 2002 manakala insurans kemalangan diri dan insurans perubatan dicatatkan pada 2.3 juta dan 354,000 polisi.

Terma-terma yang perlu diketahui....

Insurans memiliki beberapa terma yang mewakili maksud tersendiri yang secara amnya difahami bagi orang-orang yang berada didalam industri ini. Sebagai pemegang polisi, kita harus faham akan terma-terma ini supaya kita boleh menjadi pengguna yang bijak. Ini adalh sebahagian dari terma-terma asas insurans:

  • Polisi Insurans

Apabila kita bersetuju untuk membayar kepada pihak insurans yang akan mengambil alih risiko yang ditanggung, pihak insurans akan mengeluarkan satu polisi kepada pemegang polisi yang akan menerangkan dengan lebih lanjut berkenaan perjanjian insurans.

  • Premium

Premium insurans merupakan bayaran kepada syarikat insurans sebagai pertukaran kepada janji perlindungan dan bantuan keatas kehilangan yang tidak dijangka.

  • Perlindungan Maksimum

Setiap polisi insurans ada perlindungan iaitu had jumlah yang akan dibayar oleh syarikat insurans kepada pemegang polisi yang membuat tuntutan. Oleh itu, lebih besar jumlah yang dilindungi lebih tinggi premium dikenakan.

  • Tuntutan

Sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini dan polisi insurans yang dimiliki mencakupi perlindungan berkenaannya maka pemegang polisi berhak menuntut dari pihak syarikat insurans. Syarikat insurans akan menyelidik, memproses dan membuat keputusan samada tuntutan itu diterima atau ditolak.

Sekiranya diterima, pihak insurans akan membayar jumlah yang diinsuranskan kepada pemegang polisi.

Konvensional VS Takaful

Dalam industri insurans terdapat juga insurans versi islam yang dinamakan Takaful. Didalam pelan takaful, dana lebihan akan dikongsi bersama pemegang polisi takaful dan juga pihak operasi insurans. Walau bagaimanapun, lebihan tersebut hanya dikongsi kepada mereka yang tidak membuat apa-apa tuntutan sepanjang tempoh polisi takaful.

Katakan, syarikat takaful memiliki dana lebihan sebanyak 5 juta dan jumlah keseluruhan penyertaan am (bayaran premium insurans) adalah berjumlah 10 juta. Sekiranya penyertaan tahunan kita adalah RM1,000 dan perjanjian awal perkongsian keuntungan adalah pada ratio 50:50. Kita akan diberi bahagian dari dana lebihan seperti dibawah:

Ratio Perkongsian Lebihan = Ratio Perjanjian Awal X Jumlah Lebihan

Jumlah Penyertaan

= 50% X RM5 juta

RM10 juta

= 25%

Keuntungan diagih = 25% X RM1,000

= RM250

Kita boleh gunakan keuntungan yang diagihkan untuk memperbaharui insurans kereta kita. Sekiranya jumlah premium adalah RM650, kita hanya perlu membayar RM400 dan kita dapat berjimat sebanyak RM250.

Selain daripada perkongsian keuntungan keatas lebihan, insurans konvensional dan takaful masih menggunakan prinsip-prinsip yang sama:

  • Faedah Ke atas Barangan Yang Diinsurankan

Menyertai pelan takaful atau membeli polisi insurans bagi melindungi hartabenda atau barangan dari kemusnahan yang tidak dijangka.

  • Indemniti

Kedua-dua syarikat insurans dan takaful akan melindungi pemegang polisi sejumlah wang yang hilang atau musnah sehingga jumlah maksimum yang diinsurankan.

  • Kebolehpercayaan

Dalam membeli polisi insurans atau menyertai pelan takaful, kita dimestikan untuk memberikan maklumat yang betul dan sahih. Sekiranya kita didapati menipu dalam memberikan maklumat perubatan secara automatik polisi akan menjadi tidak sah dan terbatal.

Jenis Insurans

Secara amnya, terdapat 2 jenis insurans (takaful) iaitu insurans am dan insurans hayat.

Insurans hayat akan melindungi insan-insan yang kita sayangi. Mereka yang amat bergantung kepada kita dari segi kewangan tidak akan dibebani sekiranya kita sudah tiada. Walau bagaimanapun, insurans hayat mungkin menjadi keperluan atau mungkin juga tidak menjadi keperluan kepada kita. Ini semua bergantung kepada beberapa faktor dan kriteria. Sekiranya kita masih bujang dan tiada insan yang bergantung harap kepada kita, insurans hayat adalah tidak lah menjadi keutamaan pilihan.

Sekiranya kita sudah berkahwin dan pasangan hidup kita bekerja dan berkemampuan dari segi kewangan tanpa memerlukan pendapatan kita, kita masih boleh menolak untuk memiliki insurans hayat. Cuma bila kita telah menjadi tempat insan-insan tersayang bergantung harap, maka insurans hayat akan menjadi satu keperluan yang utama.

Pemegang polisi insurans hayat boleh menuntut pelepasan cukai keatas pembayaran premium tahunan sehingga maksimum RM5,000 setahun setelah dicampur jumlah penyertaan keatas tabungan KWSP.

Insurans am pula melibatkan perlindungan kenderaan, bangunan, kemalangan diri dan perjalanan. Tempoh perlindungan biasanya akan tamat dalam tempoh setahun dan memerlukan kita membayar keseluruhan jumlah premium sekaligus.

Yang Mana Satu Sesuai Untuk Saya?

Insurans dan takaful merupakan cara mengelak dari meninggalkan beban kepada insan-insan tersayang sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diduga yang menyebabkan kita menjadi lumpuh atau meninggal dunia

Sehingga kini, terdapat pelbagai pelan insurans dan takaful di pasaran dan menyebabkan kita menghadapi kesulitan untuk membuat pilihan. Di sini, disediakan sedikit petunjuk berkenaan perkara-perkara yang perlu difikirkan sebelum membeli sesuatu polisi insurans atau takaful.

  • Memahami klausa yang tertulis didalam polisi atau pelan termasuklah keadaan, had-had faedah dan juga bentuk produk.
  • Pilih pelan yang anda fikirkan anda mampu membayar premium atau wang penyertaannya dan tidak menjadikan ia satu beban baru kepada anda dari segi kewangan.
  • Sertakan semua maklumat yang betul dan tepat ketika mengisi borang pemohonan insurans untuk mengelakkan dari dikenakan penalti ketika membuat tuntutan dikemudian hari.
  • Berurusan secara terus kepada pihak insurans atau takaful, atau anda boleh menggunakan khidmat ejen insurans berdaftar bagi menguruskan insurans atau pelan takaful anda.
  • Beri perhatian kepada tarikh pembayaran wang penyertaan atau premium dan perbaharui polisi sekiranya tamat tempoh.

Berapa anda peruntukkan untuk pembayaran premium bulanan insurans yang anda sertai? Peratus yang paling ideal adalah tidak melebihi 10 peratus dari jumlah pendapatan anda. Tetapi, ini masih bergantung kepada keperluan setiap individu. Jagi, fahami keperluan anda sendiri dan anda lebih mengenali diri anda dari orang lain termasuk ejen insurans. Buatlah sedikit kerja rumah dan kajian sebelum membeli polisi insurans.

No comments: