Cuma AKU

Cuma AKU

Sunday, January 5, 2014

Pesanan Pakcik Zan

Salam buat semua..

Cuti hujung minggu, aku ziarah ayah dan emak di kampung. Seronok atuk dan nenek dijenguk cucu-cucu bertiga. Seperti kebiasaan setiap kali pulang ke kampung pasti emak menjamu lauk kegemaranku... asam pedas + tauhu sumbat + petai (bawa sendiri dari Putrajaya) = TERBAIK... simple tetapi sangat sedap. 

Entri kali ini aku hendak ceritakan tentang seorang rakan ayahku. Pakcik Zan. Khabarnya seorang rakan sama-sama kerja di MAS sebelum mereka bersara. Katanya dulu selalu datang ke rumah melawat kami, masa itu kami adik beradik kecil lagi dan aku sendiri tidak mengingati Pakcik Zan. Pakcik Zan datang ziarah ayah di kampung. Nampak seperti lama tidak berjumpa ayah tetapi jelas nampak keakraban dahulu masih terjalin. Aku tinggalkan mereka untuk berbual selepas aku bersalaman dan bertanya khabar. 

Aku di dapur bertanya kepada emak tentang tetamu ayah... al maklum sungguh aku dah lupa. Emak kata pakcik dari kenduri di Muar dan singgah melawat ayah yang lama tidak berjumpa. Rancak mereka berbual dan selepas makan tengahari tiba masa untuk Pakcik Zan dan isteri pulang. 

Emak memanggil aku yang sedang di hadapan TV. Bangun aku untuk bertemu tetamu ayah. Mungkin aku sudah lupa kelibatnya semasa aku kecil, mungkin aku juga terlupa kata-kata gurauan dia semasa aku kecil tetapi aku takkan lupakan PESANAN semasa erat dia memelukku.

"Jangan diabai ayah yang sakit.. jangan ditinggal ayah dan emak... jaga ayah dan emak elok-elok.. sebagai along, tanggungjawab kamu untuk buat semua yang patut"... Suara Pakcik Zan sedikit sedu semasa berkata-kata. Aku anggukkan kepala tanda aku faham. 

Dari dalam kereta sebelum bergerak pulang, Pakcik Zan berpesan benda yang sama sekali lagi. Aku senyum. Iya.. aku takkan lupa. Semoga aku layak berkhidmat untuk orang tua ku selagi ada hayat. Semoga Allah memberi segala yang perlu untuk aku menjadi anak yang baik. 

Apa2pun, terima kasih Pakcik Zan atas pesanan. Mudahan aku tidak lupa...

No comments: